Friday, September 26, 2008

DI DATARAN INI

DI DATARAN INI


Di dataran ini
kita kembali menemukan
butir-butir fikiran
sesudah hampir beberapa dekad
kau tinggalkan,lantaran sibuk mengurus kehidupan
kawan-kawan dan teman
ada yang sudah lanjut usia
namun di sini
aku merasakan; diri ini kembali muda
lewat buah-buah fikiran
yang dilontarkan oleh para ahli
dalam bidangnya; lalu kita pun teringat
suatu waktu dulu; hutan Bangi turut menyuburkan
buah-buah fikiran dan perasaan.


Di dataran ini
aku kembali teringat
kisah dua puluh tahun silam
ketika menghuni hutan Bangi
berdepan dengan hujah pekat
para pensyarah,penyair, dan kawan-kawan
bukan untuk menebus kekalahan
sebagai anak bangsa; kita berhak menjadi dewasa
memenuhi cita-cita negara
pembelajaran di sepanjang usia.


Di dataran ini
aku kembali menemukan
diriku yang dulunya hilang.


November,2002
Perpustakaan Sultan Abd.Samad, UPM.

Tuesday, September 23, 2008

ATAU LEBIH BAIK BEGINI

ATAU LEBIH BAIK BEGINI

buat seseorang


Barangkali tiada yang lebih baik di sini
selain dari kata-kata yang kita ucapkan
tentang berbagai perkara yang mungkin tidak menarik
perhatian sesetengah orang ; tetapi itulah
yang dapat kita bualkan sepanjang pertemuan ini
tiadalah yang dapat dimanfaatkan
sesuatu idea atau buah fikiran kalau tidak
diperkatakan.




Barangkali tiada yang lebih baik di sini
melainkan kita lontarkan buah fikiran itu
meski kadang-kadang kita menyesal
kerana ia menggores hati kawan
lawan bicara atau sesiapa saja
sambil makan-makan dalam dingin coffee house ini
dan hidup memang begini
kadangkala hati terasa sakit
tetapi realiti tetap akan menjelma
suka duka adalah pengalaman kehidupan.


Barangkali memang lebih baik begini
kita lontarkan kata-kata yang berlegar di kepala
dan kita tidak akan menjadi pendendam
yang menyimpan perasaan.


Ya, kadangkala lebih baik begini
kecuali kalau kita tidak di sini.




2006.

PERTANYAAN TANPA JAWABAN

PERTANYAAN TANPA JAWABAN


Suatu ketika kami muntahkan selonggok kata-kata
bertentang mata di depan meja
aku kembali mengingat kisah silam yang masih terpendam
entah kenapa kenangan manis itu
tidak lagi semanis dulu
sehingga aku sendiri tidak mengerti
jawaban kepada permasalahan
yang seharusnya kita hadapi di saat begini.

Kebetulan dalam detik Ramadhan yang suci ini
aku sendiri buntu untuk memberi jawaban
kepada soalan yang sendiri kutanyakan
kerana rasa tawar yang terus menerpa
mengetuk setiap sudut sukma
oleh harga yang terlalu tinggi
dorongan seorang ibu
tak dapat kunyatakan keputusan dahulu itu
mantap dan kejap; soalnya bukannya tidak mampu
tetapi keserasian; di antara hati dan perasaan
akal dan jiwa yang merasa
lebih penting dari sejumlah wang dan harta.

Demikian dalam detik Ramadhan yang suci ini
ketika kami sedang berhujah dengan peluru kata-kata
aku teringat kepada soalan yang aku sendiri tanyakan
sehingga kini tidak kudapat memberikan jawaban
kepada yang setia menanti; kerana hati ini semakin terasing
dan sepi; oleh teriknya harga yang menanti.


20 April,1989

Monday, September 22, 2008

DI ANTARA KATA DAN MAKNA

Adakalanya
seseorang berkata
dan kita menerimanya
persis seperti apa yang diucapkan.

Adakalanya
seseorang berkata
tetapi kita mentafsirnya
jauh di sebalik makna.

Kata-kata dan makna
kadangkala berbeza
di antara ungkapan dan ucapan.

Kata-kata dan makna
kadangkala membuatkan kita
menjadi perenung dan pentafsir
untuk mencari
makna sebenar
di sebalik ucapan dan ungkapan
yang kadangkala
memungkinkan kita
berlainan faham.


12.7.2004.

Mengejar Bayangmu

MENGEJAR BAYANGMU

Kukejar bayangmu
Sejak tiga tahun dahulu
Lalu kutangkap; kulindas di bawah sepatuku
Agar ia tak menggangguku lagi.

Ku kejar bayangmu
Namun puas sudah kumengejarinya
Dan ia; makin menjauh
Jauh meninggalkan aku
Di seberang lautan.

Kini aku sudah tua
Dan kehilangan upaya
Kata orang dulu; gunung dikejar tak kan lari
Tetapi bila mengejar manusia
Ia akan semakin menjauh
Dan jauh di celah awan.

Kini aku tiba
Di satu persimpangan
Simpang empat terbentang di hadapan
Dan aku pun berdepan dengan beberapa pilihan
Sebelum membuat keputusan.

Aku tidak akan lagi mengejar bayangmu
Kerana mengejar itu
Menjadi aku lelah dan semput dalam kepayahan
Aku tidak lagi mengejar
Kerana ia membuatkan aku
Lena dalam igauan.

01.08.2008