Thursday, October 30, 2008

BARANGKALI SESUDAH ITU

BARANGKALI SESUDAH ITU


Barangkali sesudah itu

tiada apa-apa lagi di sini

lewat kenangan yang berbalam

masa silam yang tak mungkin ke depan

memang mustahil, tetapi kemustahilan

adalah hak Tuhan,untuk diharuskanNya

menurut kudratNya.



Sesudah itu

tiada apa-apa lagi di sini

kecuali kita bakal pergi

dan tak mungkin kembali

seperti semula

seperti sekarang ini

sunnah alam sememangnya begitu

Tuhan menentukan kehendakNya

menewaskan nafsu manusia

yang tak terbatas itu.



Barangkali sesudah itu

tiada apa-apa lagi di sini

kecuali kita bakal pergi

dan tak mungkin kembali.



AlKundangi,

07.07.07.

Monday, October 27, 2008

AMERIKA

AMERIKA

Entah bagaimana perang itu meletus
Walau sebelah pihak mengelak ke kiri dan ke kanan
Ibarat seorang pesilat mahir mengelak tumbukan lawan
Namun perang itu terjadi juga akhirnya; bukan kerana apa
Hanya negara itu bernama Amerika; nama yang sudah tercatat
Dalam sejarah; bahawa peperangan adalah hobinya;
Sehingga memusnahkan semua negara yang jadi mangsa
Bahawa amerika tetap amerika; yahudi adalah dalangnya
Freemason adalah gerakannya; lion club adalah kelabnya
KFC dan MC Donald adalah tempat makannya.

Amerika tetaplah amerika
Sejak sekian lama ia menjadi besar
Lalu semua negara kecil mesti anggukkan kepala
Jika gagal mereka akan dibom atau dicap penjenayah
Dan termasuk senarai yang akan diserang
Di bawah telunjuk negara kecil Israel;
Kerana ia lebih yahudi dari yahudi itu sendiri;
Memang mereka bangsa pilihan;
Tetapi itu dahulu;zaman silam
Di mana nabi-nabi ramai dilahirkan
Dari bangsa berkenaan.

Amerika tetaplah Amerika
Begitulah kata syed Qutb; seorang syuhada
Bahawa mereka mahukan Islam menurut cara mereka
Orang-orang Muslim; tidak perlukan negara
Peduli apa negara Islam, kalau itu memang menyusahkan
Amerika dan sekutunya;Islam cukup sekadar sembahyang
Puasa zakat haji; selebihnya duduklah diam-diam
Dalam masjid surau atau musalla
Berzikir atas nama Tuhan; usah fikirkan soal hukum-hakam
Semuanya itu musuh bagi Amerika;
Jika mempersoalkan ;hukum hakam dan negara Islam.

Entah bagaimana perang itu meletus juga
Walau pada mulanya Osama menjadi buruan
Afghanistan menjadi sasaran; Al-Qaeda menjadi tumpuan
Dan pengganas wajib diperangi;atas nama Amerika
Walau sebenarnya yang jadi buruan adalah si Muslim
Yang mimpikan dasar-dasar agamanya
Dihayati dalam sepanjang sejarah dunia.


Akhirnya perang itu meletus juga
Dan kezaliman pun bermaharajalela
Di mana-mana sahaja
Dan setiap muslim; bakal menjadi sasaran
Yang membingungkan keadaan;
Di mata rakyat Iraq; Sadam tetap pahlawan
Sekalipun Amerika membencinya
Dan di mata umat Islam Bush memanglah syaitan
Pemusnah keadilan penegak kezaliman
Hanya semata dia mewarisi
Amerika ciptaan ayahnya.

Yang menjadi sasaran adalah umat Islam
Diperangi habis-habisan; kerana kebencian
Umat Muhammad nabi berbangsa Arab;
Tidak mungkin ada nabi selain dari bangsa pilihan
Selain darinya; adalah budak-budak syaitan
Yang diatur umpama bidak-bidak di papan catur
di meja perjudian.

Amerika tetaplah amerika
Dengan egonya mereka mendabik dada
Di atas mitos bangsa pilihan
Melancarkan serangan
Terhadap sesiapa sahaja
Yang bernama dan beragama Islam.


AlKundangi,
25.03.03

Wednesday, October 8, 2008

BARANGKALI DI ALLSON KELANA

BARANGKALI DI ALLSON KELANA


Barangkali di Allson Kelana

Ada jutaan bintang;jutaan kenangan

Ketika kita belajar;tentang pengurusan masa

Sememangnya memang penting

Manusia menghargainya

Masa yang dikreditkan ke akaun kita

Setiap hari.



Atau seperti kata pepatah Arab

Ia ibarat pedang;jika kita tidak memotongnya

Nescaya dia akan memenggal kita

Atau orang Melayu menyifatkan

Masa itu emas;menggambarkan nilainya

Tidak terhingga;namun masih ada

Segelintir manusia;mensia-siakannya.



Barangkali di Allson Kelana

Ada jutaan bintang;jutaan kenangan

Tentang masa;dan aktiviti dari diari potret

Pemudahcara sendiri; namun di sebalik itu

Ada kenangan yang lebih menghangatkan

Tak dapat dilupakan;lewat pertemuan yang tak dirancang

Sehingga kini; engkau masih

Dalam ingatan;tak dapat dilupakan.



AlKundangi,2005.

Friday, September 26, 2008

DI DATARAN INI

DI DATARAN INI


Di dataran ini
kita kembali menemukan
butir-butir fikiran
sesudah hampir beberapa dekad
kau tinggalkan,lantaran sibuk mengurus kehidupan
kawan-kawan dan teman
ada yang sudah lanjut usia
namun di sini
aku merasakan; diri ini kembali muda
lewat buah-buah fikiran
yang dilontarkan oleh para ahli
dalam bidangnya; lalu kita pun teringat
suatu waktu dulu; hutan Bangi turut menyuburkan
buah-buah fikiran dan perasaan.


Di dataran ini
aku kembali teringat
kisah dua puluh tahun silam
ketika menghuni hutan Bangi
berdepan dengan hujah pekat
para pensyarah,penyair, dan kawan-kawan
bukan untuk menebus kekalahan
sebagai anak bangsa; kita berhak menjadi dewasa
memenuhi cita-cita negara
pembelajaran di sepanjang usia.


Di dataran ini
aku kembali menemukan
diriku yang dulunya hilang.


November,2002
Perpustakaan Sultan Abd.Samad, UPM.

Tuesday, September 23, 2008

ATAU LEBIH BAIK BEGINI

ATAU LEBIH BAIK BEGINI

buat seseorang


Barangkali tiada yang lebih baik di sini
selain dari kata-kata yang kita ucapkan
tentang berbagai perkara yang mungkin tidak menarik
perhatian sesetengah orang ; tetapi itulah
yang dapat kita bualkan sepanjang pertemuan ini
tiadalah yang dapat dimanfaatkan
sesuatu idea atau buah fikiran kalau tidak
diperkatakan.




Barangkali tiada yang lebih baik di sini
melainkan kita lontarkan buah fikiran itu
meski kadang-kadang kita menyesal
kerana ia menggores hati kawan
lawan bicara atau sesiapa saja
sambil makan-makan dalam dingin coffee house ini
dan hidup memang begini
kadangkala hati terasa sakit
tetapi realiti tetap akan menjelma
suka duka adalah pengalaman kehidupan.


Barangkali memang lebih baik begini
kita lontarkan kata-kata yang berlegar di kepala
dan kita tidak akan menjadi pendendam
yang menyimpan perasaan.


Ya, kadangkala lebih baik begini
kecuali kalau kita tidak di sini.




2006.

PERTANYAAN TANPA JAWABAN

PERTANYAAN TANPA JAWABAN


Suatu ketika kami muntahkan selonggok kata-kata
bertentang mata di depan meja
aku kembali mengingat kisah silam yang masih terpendam
entah kenapa kenangan manis itu
tidak lagi semanis dulu
sehingga aku sendiri tidak mengerti
jawaban kepada permasalahan
yang seharusnya kita hadapi di saat begini.

Kebetulan dalam detik Ramadhan yang suci ini
aku sendiri buntu untuk memberi jawaban
kepada soalan yang sendiri kutanyakan
kerana rasa tawar yang terus menerpa
mengetuk setiap sudut sukma
oleh harga yang terlalu tinggi
dorongan seorang ibu
tak dapat kunyatakan keputusan dahulu itu
mantap dan kejap; soalnya bukannya tidak mampu
tetapi keserasian; di antara hati dan perasaan
akal dan jiwa yang merasa
lebih penting dari sejumlah wang dan harta.

Demikian dalam detik Ramadhan yang suci ini
ketika kami sedang berhujah dengan peluru kata-kata
aku teringat kepada soalan yang aku sendiri tanyakan
sehingga kini tidak kudapat memberikan jawaban
kepada yang setia menanti; kerana hati ini semakin terasing
dan sepi; oleh teriknya harga yang menanti.


20 April,1989

Monday, September 22, 2008

DI ANTARA KATA DAN MAKNA

Adakalanya
seseorang berkata
dan kita menerimanya
persis seperti apa yang diucapkan.

Adakalanya
seseorang berkata
tetapi kita mentafsirnya
jauh di sebalik makna.

Kata-kata dan makna
kadangkala berbeza
di antara ungkapan dan ucapan.

Kata-kata dan makna
kadangkala membuatkan kita
menjadi perenung dan pentafsir
untuk mencari
makna sebenar
di sebalik ucapan dan ungkapan
yang kadangkala
memungkinkan kita
berlainan faham.


12.7.2004.