Friday, July 15, 2011

DI PAGI-PAGI BEGINI

Di pagi-pagi begini
Kadangkala kita terfikir
Hidup yang singkat;inflasi yang menggila
Menjadikan kemampuan kita terbatas
Kepada yang perlu sahaja
Hidup tidak perlu meminta-minta
Tangan di atas adalah lebih baik
Dari tangan yang menerima
Adakalanya memberi mendatangkan kepuasan
Terhadap hidup dan kemanusiaan
Yang semakin hari kian menipis
Dihakis oleh keperluan hidup
Dari jiwa yang kasar
Dan terlebih kasar dalam suasasana perang
Perebutan ke atas sumber alam
Dan mempamirkan kuasa
“akulah yang paling hebat
Dan berkuasa di atas dunia.”

Di pagi-pagi begini
Sebelum menjamah nasi lemak
Atau roti canai; yang menjadi kegemaran
Rakyat marhaen yang kekurangan wang
Kita terpaksa meneruskan
Perjuangan untuk mencari makan
Lebih dari lain-lain perjuangan
Kerana hidup ini; meminta pengorbanan
Yang tidak sedikit; walaupun sebahagian umat
Dilanda kekejaman.

Di pagi-pagi begini
Kadangkala kita terfikir
Kenapa kita tidak meletakkan
Akidah dan keimanan
Di atas segala keperluan
Agar semuanya teratur
Dan tiada lagi yang kebuluran
Lantaran semua keperluan
Sudah dibahagi-bahagikan
Menurut susunan.

Di pagi-pagi begini
Adakalanya lebih baik
Kita bertanya kepada diri kita
Mengapakah begitu sukar
Kita menurut perintah dan peraturan Tuhan
Supaya semua orang; cukup makanan dan pakaian
Dan segala keperluan; keadilan sosial ditegakkan
Menurut AlQuran.

17.5.2011

Saturday, February 5, 2011

SATU CATATAN PERJALANAN

Sewaktu kami melangkah ke dadamu
lewat malam,perjalanan yang jauh
dan memenatkan, sementara di Gua Musang,
kami singgah sebentar,
menunaikan solat ‘asar
yang dijamak dengan zohor
kerana begitu adat perjalanan
seorang insan bernama Islam.

Sewaktu kami singgah di dadamu
lewat malam, penghuni sudah sepi
dibuai mimpi yang tak pasti
di sini tiada hotel lima bintang
untuk para musafir melepas lelah
hanya cukup sekadar rumah tumpangan
sebelum meneruskan perjalanan.

Kuala Krai, tidak kusangka
singgah sebentar bermalam
sambil memindahkan pengalaman
mengajar kami erti kehidupan
ada pahit,ada manis
adakalanya sempit dan jauh dari keselesaan
kesemuanya bercampur- baur
pengalaman yang kau serahkan
tidak mungkin dilupakan
menyentuh kalbu dan pemikiran
demikian hidup ini
ada susah ada senang
ada sesuatu untuk difikirkan
melampaui batas-batas perasaan.

Kuala Krai,bermalam di dadamu
memberikan pengalaman
yang sukar dilupakan
sekalipun hatiku hampir berderai
oleh marah berbaur rungutan
serta sesalan seorang perempuan
akibat kehilangan keselesaan.



Kuala Krai,
2007.

PUISI TAK JADI

(monolog suatu pagi)

ingin kutulis sebuah puisi; yang kalau dibaca

semua orang merasa bahagia; yang kelam menjadi terang

yang hitam menjadi putih

yang resah menjadi tenang

ingin kutulis puisi sedemikian.

ingin kutulis sebuah puisi; yang kalau dibaca

para penganggur merasa terhibur

ekonomi meleset menjadi pulih

para peniaga tidak jadi sorok barang

harga beras, susu, gula dan semua barang keperluan

turun menjunam

tak perlu tanya Amerika atau British

bila mempersoalkan dasar luar.

ingin kutulis puisi sedemikian; yang kalau dibaca

orang patah hati jadi terhibur

orang kecewa jadi gembira

penganggur siswazah kehilangan gundah

pesakit jiwa tidak jadi bunuh diri

penyanyi dan seniman turut terpegun

tidak lagi membuang masa di pentas, warna atau kanvas

pelajar universiti tak perlu studi sampai pagi.

Ingin kutulis puisi sedemikian; yang kalau dibaca

semua orang merasa bahagia

semua yang kelam menjadi terang

ingin kutulis puisi sedemikian

sayang sekali puisi kali ini

barangkali adalah puisi-puisi tak jadi.

DI ANTARA KATA DAN MAKNA

Adakalanya

seseorang berkata

dan kita menerimanya

persis seperti apa yang diucapkan.

Adakalanya

seseorang berkata

tetapi kita mentafsirnya

jauh di sebalik makna.

Kata-kata dan makna

kadangkala berbeza

di antara ungkapan dan ucapan.

Kata-kata dan makna

kadangkala membuatkan kita

menjadi perenung dan pentafsir

untuk mencari

makna sebenar

di sebalik ucapan dan ungkapan

yang kadangkala

memungkinkan kita

berlainan faham.

ZAINAL LASIM,

2006.