Sunday, March 20, 2011
Saturday, February 5, 2011
Sewaktu kami melangkah ke dadamu
lewat malam,perjalanan yang jauh
dan memenatkan, sementara di Gua Musang,
kami singgah sebentar,
menunaikan solat ‘asar
yang dijamak dengan zohor
kerana begitu adat perjalanan
seorang insan bernama Islam.
Sewaktu kami singgah di dadamu
lewat malam, penghuni sudah sepi
dibuai mimpi yang tak pasti
di sini tiada hotel lima bintang
untuk para musafir melepas lelah
hanya cukup sekadar rumah tumpangan
sebelum meneruskan perjalanan.
Kuala Krai, tidak kusangka
singgah sebentar bermalam
sambil memindahkan pengalaman
mengajar kami erti kehidupan
ada pahit,ada manis
adakalanya sempit dan jauh dari keselesaan
kesemuanya bercampur- baur
pengalaman yang kau serahkan
tidak mungkin dilupakan
menyentuh kalbu dan pemikiran
demikian hidup ini
ada susah ada senang
ada sesuatu untuk difikirkan
melampaui batas-batas perasaan.
Kuala Krai,bermalam di dadamu
memberikan pengalaman
yang sukar dilupakan
sekalipun hatiku hampir berderai
oleh marah berbaur rungutan
serta sesalan seorang perempuan
akibat kehilangan keselesaan.
Kuala Krai,
2007.
PUISI TAK JADI
(monolog suatu pagi)
ingin kutulis sebuah puisi; yang kalau dibaca
semua orang merasa bahagia; yang kelam menjadi terang
yang hitam menjadi putih
yang resah menjadi tenang
ingin kutulis puisi sedemikian.
ingin kutulis sebuah puisi; yang kalau dibaca
para penganggur merasa terhibur
ekonomi meleset menjadi pulih
para peniaga tidak jadi sorok barang
harga beras, susu, gula dan semua barang keperluan
turun menjunam
tak perlu tanya Amerika atau British
bila mempersoalkan dasar luar.
ingin kutulis puisi sedemikian; yang kalau dibaca
orang patah hati jadi terhibur
orang kecewa jadi gembira
penganggur siswazah kehilangan gundah
pesakit jiwa tidak jadi bunuh diri
penyanyi dan seniman turut terpegun
tidak lagi membuang masa di pentas, warna atau kanvas
pelajar universiti tak perlu studi sampai pagi.
Ingin kutulis puisi sedemikian; yang kalau dibaca
semua orang merasa bahagia
semua yang kelam menjadi terang
ingin kutulis puisi sedemikian
sayang sekali puisi kali ini
barangkali adalah puisi-puisi tak jadi.
DI ANTARA KATA DAN MAKNA
Adakalanya
seseorang berkata
dan kita menerimanya
persis seperti apa yang diucapkan.
Adakalanya
seseorang berkata
tetapi kita mentafsirnya
jauh di sebalik makna.
Kata-kata dan makna
kadangkala berbeza
di antara ungkapan dan ucapan.
Kata-kata dan makna
kadangkala membuatkan kita
menjadi perenung dan pentafsir
untuk mencari
makna sebenar
di sebalik ucapan dan ungkapan
yang kadangkala
memungkinkan kita
berlainan faham.
ZAINAL LASIM,
2006.
SEPANJANG CAKAP-CAKAP DI SINI
Sepanjang cakap-cakap di sini
kita masih tak menemukan
kebenaran yang dikehendaki
kita kadangkala menempuh
cara yang berlainan
lalu sesat di hujung jalan.
Sepanjang cakap-cakap di sini
kita masih tak menemui
kebenaran yang dicari
ada masanya tersembunyi
di sebalik putar balik bahasa
falsafah dan logika
sehingga memaksa kita mencarinya kembali
di pangkal perjalanan ini.
Sepanjang cakap-cakap di sini
kadangkala semuanya tanpa erti.
Zainal Lasim
Wednesday, May 19, 2010
TERKEDU
kadangkala
aku teringat wajahmu
sekejap suka sebentar duka
atau kadangkala gembira yang tak terduga
antara kita ada kisah yang harus dilupa
walau hujan gelap ribut petir melanda
tetapi aku harusk melupakan sejarah silam
yang terbentang penuh liku di belakang
tak mungkin dapat mencapai segala impian
adakalanya impian melampaui batas keperluan manusia
namun seperti tiba-tiba sahaja
kita harus melupakan antara satu sama lain
benih yang mula cambah kering bagai debu dfitiup angin kering.
pada ketika-ketikanya
kisah silam adalah baik untuk pengalaman
tetapi bagaimana ya: sebagai manusia kita gagal mengusirnya
dari ingatan atau memori masa silam
khabar gembira dan khabar duka
kita terpaksa untuk tidak mengulangi putus asa
kita harus objektif: seperti katamu
di sebalik kejadian ada hikmah yang terpendam.
pada ketika-ketikanya: kadangkala
aku teringat pada wajahmu
lalu kucari kertas dan pena
mencatat sebuah puisi yang entah apa
barangkali rindu barangkali benci barangkali suka
atau duka kerana perasaan terpaksa dipendam
seolah-olah memang ada penghalang
membuatkan kita tidak jadi bermain kata
atau borak-borak sebelum pulang kerja
sambil menjauhkan kata-kata berbau mesra
hujan di luar dan kita terlewat pulang
sementara ibu menantimu di muka pintu
dan aku harus pulang sebelum malam
maka kita pun tak sempat bermain kata-kata
perasaan pun melayang-layang tak terkendala.
pada ketika-ketikanya
aku teringat pada wajahmu
tiba-tiba; semuanya terkedu
di hadapan isterku.
17.4.2010
BTP.
Tuesday, August 4, 2009
Sesekali Aku Terharu
Sesekali aku terharu
mendengar berita terbaru
kau sudah melahirkan seorang bayi
untuk ayah dan ibu
namun begitulah
tiap insan
inginkan zuriat
buat melangsungkan kehidupan.
Sesekali aku terharu
mendengar kau telah
bergelar ibu
sedang aku tidak tahu
apa sebenarnya perasaan ini
suka duka sedih gembira
bercampur baur umpama pasaran saham
yang turun naik
akibat ketidakstabilan
matawang.
Sesekali aku terharu
bila kau bergelar Ibu
tanpaku.
4.8.2009.